top of page

Banjir: Loob Holding Sumbang RM50,000 Bantu Pusat Hemodialisis Shah Alam

Updated: Jun 2, 2022


KUALA LUMPUR 12 Jan - Loob Holding Sdn. Bhd. yang memiliki jenama minuman, Tealive menyumbang sebanyak RM50,000 bagi membantu Pusat Hemodialisis Shah Alam yang mengalami kerugian sebanyak RM1.3 juta akibat bencana banjir.



Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob, Bryan Loo berkata, sumbangan itu bertujuan bagi membantu kempen Yayasan St. John Ambulans Malaysia-Kawasan Pantai Selangor (SJAM-KPS) untuk mengumpul dana pusat dialisis itu.


Beliau berkata, sumbangan yang diberikan mencukupi untuk membeli sebuah mesin dialisis yang lengkap dengan kerusi dan meja dialisis.


"Kami mengetahui mengenai nasib pusat dialisis ini melalui media sosial dan kami ingin memberi pertolongan tersebut dengan segera.


"Kami berharap sumbangan kami yang tidak seberapa dapat membantu melancarkan kempen bagi meraih dan mengumpul dana bantuan untuk pusat itu," katanya dalam kenyataan.


Menurut Loo, pihaknya bersimpati dan sedih terhadap nasib yang menimpa pusat dialisis itu ekoran paras air banjir naik hampir mencecah bumbung dan kakitangan serta pesakit terperangkap di tingkat semalaman.


"Kami terbayangkan akan kemusnahan yang dialami seperti mesin dialisis, perabot khas untuk dialisis, peralatan perubatan, malah penghawa dingin juga semuanya musnah.


"Sebagai jenama Malaysia, kami berasa tanggungjawab untuk melakukan sesuatu bagi meringankan penderitaan yang dialami mangsa banjir. Kami berharap agar lebih ramai akan tampil untuk membantu SJAM-KPS," katanya.


Dalam perkembangan sama, Ketua Pegawai Operasi SJAM-KPS, Datuk Burnard Yeo Kim Thong berharap organisasi lain dan orang ramai dapat membantu yayasan tersebut untuk membangunkan semula pusat dialisis agar dapat beroperasi semula secepat mungkin.


"Sebagai pertubuhan bukan kerajaan yang menerajui dalam penyediaan perkhidmatan pertolongan cemas dan kecemasan, ramai kakitangan kami merupakan sukarelawan dan kami bergantung kepada sumbangan yang diterima. Kami bersyukur di atas tindakan pantas Loob dalam membantu kami," katanya.


Mengimbau kembali tragedi tersebut, beliau yang merupakan Komander Negeri Selangor, St John Ambulans Malaysia berkata, banjir yang naik mendadak telah memerangkap enam orang pesakit dan empat kakitangan yang hanya dapat diselamatkan pada hari berikutnya.


Beliau menganggarkan kerugian sebanyak RM1.3 juta dan Yayasan St. John Ambulans-Kawasan Pantai Selangor (SJAM-KPS Foundation" ditinggalkan dalam bebanan besar untuk mengubah suai dan membangunkan semula keseluruhan tingkat bawah pusat tersebut.


"Banjir hanya surut selepas beberapa hari dan segala apa yang berada di tingkat bawah telah musnah sama sekali. Pesakit dari SJAM-KPS Pusat Hemodialisis Shah Alam kini mendapatkan rawatan dialisis mereka di Klang yang hanya boleh menampung jumlah pesakit yang terhad," katanya.


Sesiapa yang ingin menyalurkan sumbangan kepada pusat tersebut boleh membuat transaksi ke akaun Ambank bernombor 888-10355-31725 atas nama Yayasan St John Ambulans Malaysia-Kawasan Pantai Selangor, kod Swift (ARBKMYKL) dan rujukan (Shah Alam Dialysis).


Semua sumbangan adalah dikecualikan daripada cukai dan penderma akan diberikan resit rasmi.


Source: Dagangnews

Comments


Commenting has been turned off.
bottom of page